SMK Sungai Choh menerusi anjuran unit Hal Ehwal Murid baru-baru ini mengadakan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin-Pemimpin bagi sesi 2025, satu acara penting dalam mengiktiraf barisan pemimpin muda sekolah.
Ini sekaligus memberi amanah dan tanggungjawab kepada mereka dalam membantu pihak sekolah menegakkan disiplin dan kepimpinan yang cemerlang.
Perjalanan Majlis yang Penuh Bermakna
Majlis dimulakan dengan gimik perasmian yang dikelolakan oleh guru praktikal, Cik Arisa Azlin dan Cik Afza Zafirah yang dirasmikan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Alaudin bin Salehudin dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Hulu Selangor bersama Pengetua, Puan Mariam Binti Mat.
Majlis watikah diadakan dalam suasana yang penuh tertib dan berdisiplin meski di dalam bulan Ramadan. Guru-guru serta pelajar turut menyaksikan acara ini dengan penuh semangat.
Acara diteruskan dengan ucapan oleh Inspektor Alaudin dan Puan Mariam yang menekankan kepentingan kepimpinan, tanggungjawab, dan disiplin dalam membentuk sahsiah pelajar.
Dalam majlis ini 10 barisan pemimpin telah diberi amanat watikah pelantikan terdiri daripada :
- Pengawas Sekolah
- Majlis Tertinggi Pertinam
- Biro Pertinam
- Pengawas PRS
- Pengawas PSS
- Pengawas SPBT
- Pengawas Koperasi
- Millennium (Kuartermaster)
- Ketua Tingkatan
- Penolong Ketua Tingkatan
Penghargaan dan Harapan
Majlis diakhiri dengan sesi lafaz ikrar yang dipimpin oleh Ketua Pengawas Sekolah, Hadief Ahnaf Bin Sufian.
Dengan pelantikan pemimpin sekolah baharu, diharapkan SMK Sungai Choh terus melahirkan pelajar yang berdisiplin, berintegriti, dan berkaliber dalam menerajui kepimpinan masa hadapan.
Tahniah kepada semua pemimpin yang telah menerima watikah pelantikan! Semoga amanah ini dijalankan dengan penuh tanggungjawab demi kecemerlangan sekolah.
Tidak dilupakan, sekalung tahniah dan terima kasih kepada Penolong Kanan HEM, Puan Fuziah Binti Mohamad, Penyelaras Program, Encik Azhan Bin Adam dan guru-guru di atas penganjuran majlis ini.


No comments:
Post a Comment